Ordered List

KEMAHIRAN MENJAMIN KEHIDUPAN

SUKANEKA @GM BACHOK 19/12/2013


Bertempat di Seri Aur Beach Resort, Bachok, Program Sukaneka GM Bachok (Acara Tahunan) berlangsung penuh sederhana tetapi meriah. Terdahulu, program berkenaan dimulakan dengan ceramah keusahawanan oleh En. Wazir Bin Abdul Rahman, Pegawai Perhubungan Usahawan GIATMARA Negeri Kelantan. 


Acara perasmian sukaneka berkenaan dilakukan oleh En. Diami Bin Yusoff, Pengurus GM Bachok Kelantan. Acara yang bermula pada jam 10.30 pagi dan tamat pada pukul 4.30 petang.


KENALI GURU BARU DARI GM BACHOK



 GM Bachok baru2 ini bertuah kerana mendapat 2 orang cikgu yang baru ditugaskan di sini. Mereka adalah :


1.  Nor Najmiah Binti Junoh
2.  Norhayati Shakina Binti Nordin
 

 Nor Najmiah Binti Junoh


Nor Najmiah Binti Junoh, 25 tahun telah memulakan pendidikannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut Terengganu. Setelah tamat, beliau menceburi bidang kemahiran Fashion And Dressmaking (tahap 1) bertempat di GIATMARA Alor setar,Kedah

Seterusnya, Cikgu Nor Najmiah menyambung lagi pembelajaran di IKBN Wakaf Tapai, Terengganu bagi tahap 2 dan 3 dalam kursus yang sama. Kemudian pada tahun 2012, beliau menyambung pembelajaran sekali lagi di IKBN Wakaf Tapai untuk kursus Diploma Teknologi Fesyen dan Pakaian tahap 4.


Selepas tamat tahap 4, Cikgu Nor Najmiah memohon kursus Sijil Pengajar Vokasional (VTO) di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) pada tahun 2013 selama 9 bulan. Selepas 3 bulan berada di CIAST beliau memohon internship di GIATMARA Bachok,Kelantan selama 6 bulan bagi kursus Fashion And Dressmaking


Norhayati Shakina Binti Nordin


Cikgu seterusnya, Norhayati Shakina Binti Nordin dilahirkan pada 12 Jun 1981 di Sungai Bill Slim River, Perak. Bermaustautin di Alor Setar Kedah. Pada tahun 1997-1998 bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Vokasional Sungai Petani 2 (SMTSP2) dalam jurusan Rekaan Fesyen. Dalam tahun 2000-2003 Cikgu Shakina melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UITM) Shah Alam dalam bidang Seni Kulinari. Bekerja dalam bidang kulinari selama 6 bulan sahaja, kerana minat dalam bidang fesyen. Beliau juga pernah terlibat dengan perniagaan tekstil dan telah mengusahakan kedai jahit secara kecilan.

Oleh kerana didorong rasa ingin mendalami ilmu dengan lebih mendalam lagi, Cikgu Shakina telah mengikuti kursus Pembuat Pakaian Lelaki tahap 1 dan 2 di GIATMARA Alor Setar pada tahun 2008 dan Fesyen And Dressmaking pakaian wanita pada sesi 01/2009. Kemudian beliau terlibat sebagai inkubator GIATMARA selama 3 tahun dan pernah menjadi tenaga pengajar sambilan di GIATMARA Alor Setar selama 3 bulan pada tahun 2010. Setelah itu, sekali lagi beliau mengusahakan perniagaan sendiri, sambil menyambung pengajian secara sambilan dalam jurusan Vokasional Training Officer ( VTO ) di Akademi Intelek Pengajar Vokasional ( AIPV ) Sdn Bhd.Memiliki sijil SKM tahap 1,2 dan 3 pakaian wanita melalui PPT 

KORBAN DI GIATMARA BACHOK







Qurban telah disyari‘atkan pada tahun kedua hijrah sama seperti ibadah zakat dan sembahyang Hari Raya. 


Firman Allah subhanahu wata‘ala: 

{ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ } 

Maksudnya: “Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan sembelihlah qurban (sebagai tanda syukur)” 
(Surah Al-Kauthar 108:2) 

Hikmah disyari‘atkan qurban ialah sebagai tanda bersyukur kepada Allah subhanahu wata‘ala di atas segala nikmatNya yang berbagai dan juga di atas kekalnya manusia dari tahun ke tahun. Ia juga bertujuan menjadi kifarah bagi pelakunya, sama ada disebabkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan ataupun dengan sebab kecuaiannya dalam menunaikan kewajipan di samping memberikan kelegaan kepada keluarga orang yang berqurban dan juga mereka yang lain. 

Qurban tidak memadai dengan menghulurkan nilai harganya, berbeza dengan ibadah zakat fitrah yang bermaksud memenuhi keperluan golongan fakir, Imam Ahmad dikatakan menyebut amalan menyembelih qurban adalah lebih afdhal daripada bersedekah dengan nilai harganya. 

Hukum melakukan qurban ialah sunnah mu’akkadah bagi sesiapa yang mampu melakukannya. 

Sabda Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud: 

“Aku diperintahkan agar menyembelih qurban dan ia sunat bagi kamu” (Riwayat Tirmizi) 

Justeru, bagi menjalankan amanah sebagaimana di atas, kami di GM Bachok telah melakukan ibadah berkenaan pada Aidil Adha yang lalu bagi bertujuan memberi kesedaran kepada pelatih dan juga dapat mengeratkan silaturrahim bersama penduduk setempat.  


MAJLIS BERBUKA PUASA DI GM BACHOK



Bersempena dengan bulan Ramadhan yang mulia, satu majlis berbuka puasa bersama warga GIATMARA Bachok yang dianjurkan oleh Badan Kurikulum bersama pelatih  telah diadakan pada hari Rabu 17 Julai 2013 bersamaan 8 Ramadhan 1434H (artikel tertunda).


Turut hadir di majlis berbuka puasa ini ialah Tim. Pengarah GIATMARA Kelantan, En. Arif Bin Abdul Manan, Tenaga Pengajar GIATMARA berdekatan serta penduduk sekitar. Majlis yang bermula pada jam 5.30 petang ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran ahli keluarga masing masing.


Buat julung kalinya majlis seumpama ini diadakan di sini bertujuan mendekatkan lagi hubungan  silaturrahim di kalangan anggota kerja dan ahli keluarga. 


Terima kasih kepada mereka yang menzahirkan majlis ini dengan jayanya.






SALAM LEBARAN & MAAF ZAHIR BATIN





Udara dingin hening pagi
Tabuh bising mulakan hari
Aidilfitri menjelma lagi
Masing-masing pakai berseri


Tanpa mengira miskin kaya
Pangkat kedudukan hamba sahaya
Sama-sama menyambut raya
Maaf-maafan dihari bahagia 


Aidilfitri hari kemenangan
Kejayaan menempuh halangan
Mengenali erti kesenangan
Bagi mereka yang kekurangan 


Aidilfitri hari kemaafan
Menghapus kesalahan sesama insan
Memupuk perpaduan sesama ehsan
Mengikat tali keakrapan


Cincin disarung hati berdebar
Jarinan lembut wajah terhias
Ramadhan disambut dengan sabar
Aidilfitri disambut penuh meriah 


Saidina Affan menyusun kata
Tutur peri yang aulia
Maaf-bermaafan sesama kita
Di Aidilfitri yang mulia


HARI KELUARGA GIATMARA BACHOK



Sebelum ini GM Bachok telah mengadakan HARI KELUARGA bertempat di Kluang Beach Resort, Besut Terengganu pada 04 - 05 Julai 2013, iaitu sebelum Ramadhan. Program berkenaan disertai oleh semua wargakerja GM Bachok bersama ahli keluarga masing masing. Pelbagai aktiviti diadakan bagi memeriahkan suasana disamping merapatkan lagi hubungan silaturrahim sesama sendiri. 


Bersempena juga dengan minggu akhir orientasi pelatih sesi 1/2013, satu kem motivasi diadakan di tempat yang sama.  Pada kem tersebut, pelatih didedahkan dengan motivasi berunsurkan jatidiri selama dua hari satu malam di bawah seliaan Kapten Suhaimi, daripada KAGAT.


Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih di atas cetusan idea bermakna daripada Pengurus GM Bachok yang baharu iaitu En. Diami Bin Yusoff, sesungguhnya ini merupakan satu fenomena baru kepada kami semua kerana sebelum ini belum pernah diadakan majlis seumpama ini di sini.


Terima kasih juga kepada Cikgu Rozlan bersama Cikgu Zailani di atas komitmen yang diberi sehingga Hari Keluarga ini berjaya diadakan dengan cemerlang. Begitu juga dengan wargakerja lain... memang MANTOP !!!


Seterusnya beberapa rangkap pantun buat renungan bersama :


Harum sungguh bunga melati
Hiasan sanggul amat memikat
Bertolak ansur, hormat menghormati
Mengukuh perpaduan ikatan muafakat






LAWATAN PENGERUSI GIATMARA KE GM BACHOK



Sukacita dimaklumkan bahawa Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), YB. Dato' Seri Panglima Hj. Mohd Shafie Hj. Apdal telah melantik YB. Dato' Hj. Jaujan Hj. Sambakong, ADUN Sulabayan sebagai Pengerusi baru GIATMARA Malaysia berkuatkuasa 12 Jun 2013. Beliau merupakan Pengerusi GIATMARA yang ke-7 menggantikan YB. Dato' Shahiruddin Ab. Moin yang telah dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang pada 16 Mei 2013.

YB. Dato' Hj. Jaujan Hj. Sambakong yang pernah bertugas sebagai Setiausaha Sulit Kanan dan Setiausaha Politik kepada beberapa Menteri termasuk YB. Menteri KKLW . Pelantikan YB. Dato' Hj. Jaujan Hj. Sambakong ini akan dapat menggerakkan lagi usaha-usaha GIATMARA dalam memberikan perkhidmatan terbaik penuh tanggungjawab, dengan azam untuk meninggikan lagi mutu perkhidmatan kepada anak didik kita dan seterusnya akan menjadi legasi yang berterusan. 

GIATAMARA Bachok mengucapkan berbanyak terima kasih kepada YB Dato' di atas kunjungannya ke sini pada Khamis, 11/7/2013. Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Bachok dan juga mana mana GM di seluruh Malaysia.